NEWS & ANNOUNCEMENTS

Program eU@Marketplace Pertingkatan Taraf Usahawan Mikro Melalui Tujuh Platform Dagangan Online Terkemuka

Lebih 2,000 eUsahawan Dijangka Sertai Program eU@Marketplace Menjelang Akhir 2017

  • Program eU@Marketplace membantu peserta-peserta eUsahawan yang berpotensi tinggi untuk memasarkan produk mereka kepada kumpulan pengguna yang lebih luas, menyediakan platform dagangan online untuk menjual dan mempromosi produk ke pasaran luar.
  • Kolaborasi di antara MDEC dan tujuh (7) platform jual beli online – Lelong.my, 11street.my, AVANA, EasyStore, AmaxMall, MyBazaar dan Shopee bakal membuka peluang membina ekosistem e-dagang bagi program eUsahawan.
  • Program eUsahawan memperkasakan belia dan usahawan mikro menjangkau jualan melalui perniagaan online.

Persidangan Daya eUsahawan 2016

Kuala Lumpur, 9 November 2016 – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) terus mengorak langkah mengetengahkan platform e-dagang dengan melancarkan program “eU@Marketplace” hari ini, bagi mempelbagaikan peluang usahawan menjana pendapatan. Program “eU@Marketplace” tersebut telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak pada Majlis Perasmian Daya eUsahawan 2016 di Kuala Lumpur Convention Centre.

eU@Marketplace adalah inisiatif terbaru MDEC, hasil kolaborasi dengan tujuh (7) platform jual beli atas talian terkemuka - Lelong.my, 11street.my, AVANA, EasyStore, AmaxMall, MyBazaar dan Shopee. Inisiatif yang mula beroperasi sejak Julai 2016, merupakan satu ekosistem e-dagang yang menyediakan peluang pemasaran agar usahawan dapat menjangkau pasaran yang lebih luas. Melalui platform ini, usahawan dapat berinteraksi serta menjalankan perniagaan dalam satu jaringan ekosistem yang khusus. Di antara objektifnya adalah:

  • untuk mempercepatkan penerimaan dan penggunaan e-dagang pada peringkat awal bagi usahawan mikro yang berkelayakan dari program eUsahawan;
  • Menyediakan dan melatih peserta dari progam eUsahawan untuk menjangkau pasaran yang lebih luas, menyediakan jaringan penjualan tambahan serta mencapai visibiliti produk yang lebih tinggi;
  • untuk menyediakan peluang yang lebih luas untuk usahawan mikro agar dapat menubuhkan perkongsian perniagaan baru dalam rantaian bekalan perniagaan mereka; dan
  • menyediakan platform yang membolehkan kredibiliti produk dipertingkatkan serta membina keyakinan dikalangan pelanggan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, YBhg. Dato’ Yasmin Mahmood, “Perkembangan teknologi maklumat kini dilihat sebagai pemangkin kepada perniagaan. Program eU@Marketplace yang dilancarkan ini akan memberikan kelebihan kepada usahawan mikro untuk menjangkau pasaran luar, memberikan peluang jualan tambahan serta pendedahan produk yang lebih luas selain daripada mempermudahkan lagi urusan jual beli barangan. Kita menetapkan sasaran untuk mendapatkan seramai 2,000 peserta eUsahawan untuk mengikuti eU@Marketplace menjelang tahun 2017.”

Majlis Perasmian Daya eUsahawan 2016 yang berlangsung selama dua hari bermula 8hb November, 2016 mengetengahkan sesi perkongsian usahawan digital yang telah mencapai kejayaan, sebagai inspirasi kepada usahawan yang turut hadir. Topik perbincangan memberi fokus kepada cerita-cerita kejayaan, perkongsian pengalaman dan ilmu serta teknik Keusahawanan Digital terkini. Di antara usahawan digital yang terlibat adalah Neelofa, pengasas Naelofar Hijab, Dato’ Rizalman Ibrahim, pengasas Rizalman Couture, Dato’ Alif Syukri, pengasas D’Herbs Holdings dan Fizo Omar, pengasas Fizo Omar Channel.

“Langkah Kerajaan memberi mandat kepada MDEC untuk terus memberi kemudahan kepada usahawan adalah seiring dengan pelancaran Tahun Ekonomi Internet Malaysia 2017 yang dilancarkan baru-baru ini. MDEC akan menerajui ekonomi digital secara holistik sebagai satu pemangkin bagi Malaysia bergerak maju sebagai sebuah negara digital yang dibina di atas industri ICT domestik yang rancak. Ini mencerminkan pandangan jauh Kerajaan dalam mengenalpasti peranan e-dagang dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi Negara, menambahkan sumber pendapatan serta menaiktaraf kedudukan ekonomi usahawan.” tambah YBhg Dato’ Yasmin.

Majlis juga turut meraikan pencapaian usahawan program eUsahawan MDEC yang berjaya menggandakan pendapatan masing-masing dalam jangka masa kurang dari setahun. Seramai 3,000 peserta program eUsahawan dari seluruh Malaysia dan pihak-pihak terlibat diberi pengiktirafan mengikut kategori-kategori yang berikut:

  • Anugerah Pensyarah TVET Terbaik eUsahawan 2016;
  • Anugerah Pelajar TVET Terbaik eUsahawan 2016;
  • Anugerah Pusat TVET Terbaik eUsahawan 2016;
  • Anugerah Pusat Latihan eUsahawan Mirko Paling Aktif 2016;
  • Anugerah Pelatih eUsahawan Mirko Cemerlang 2016;
  • Anugerah eUsahawan Mikro Paling Berpotensi 2016 (Perniagaan Sedia Ada);
  • Anugerah eUsahawan Mikro Paling Berpotensi 2016 (Perniagaan Baru);
  • Anugerah Transformasi Program Bakal eJutawan Mikro 2016;
  • Anugerah Transformasi Program Bakal eJutawan Muda 2016; dan
  • Anugerah Penghargaan Khas.

Program eUsahawan adalah satu inisiatif Kerajaan melalui MDEC untuk menginstitusi keusahawanan digital dengan memberi galakan serta latihan kepada pelajar-pelajar Pusat Pendidikan Latihan Teknik dan Vokasional (TVET), golongan belia dan usahawan mikro untuk mengenali konsep “Keusahawanan Digital”. Ianya menyediakan kemudahan agar para usahawan dapat mewujudkan perniagaan atas talian yang bakal memberi pendapatan tambahan. Program ini turut meluaskan komuniti usahawan mikro tempatan menerusi penyesuaian kurikulum latihan dalam format kursus singkat melalui kolej komuniti. Setakat ini, lebih kurang 41,000 usahawan mikro seluruh negara telah mengikuti kursus ini dan sebanyak RM26 juta hasil jualan keseluruhan terkumpul telah dijana.

Untuk maklumat lanjut mengenai eUsahawan layari www.mdec.my/eusahawan/

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Zalinda Zainon
Pengurus Besar
Bahagian Hal Ehwal Korporat
Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)
Tel: 03-8315 3229
Email: zalinda.zainon@mdec.com.my

Mengenai eU@MarketPlace

eU@Marketplace ditubuhkan dengan hasrat meningkatkan taraf kehidupan rakyat serta memperkenalkan peluang pendapatan digital. Ini bertujuan untuk memperkasakan rakyat Malaysia dengan teknologi digital. eU@marketplace menyediakan platform kepada usahawan mikro untuk menjangkau pasaran luar, memberikan peluang jualan tambahan serta pendedahan produk yang lebih luas.