CYBERJAYA, 13 Mac 2026 – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) terus memperkukuh agenda pembangunan bakat digital negara melalui pelaksanaan Inisiatif Transformasi Digital Institusi Pendidikan Islam (IPI) yang memberi manfaat kepada pelajar pendidikan Islam di sekolah pondok dan sekolah agama di seluruh negara.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan MADANI untuk memastikan komuniti pendidikan Islam turut mendapat akses kepada kemahiran digital dan teknologi masa hadapan. Langkah ini membuka peluang baharu kepada pelajar bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam ekonomi digital.
Transformasi Digital IPI telah dilancarkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, pada 7 Mac lalu di Pulau Pinang. Inisiatif ini merupakan langkah strategik negara bertujuan melahirkan generasi pelajar pendidikan Islam yang cemerlang dalam ilmu agama serta dilengkapi kemahiran digital, selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi Negara AI menjelang 2030.
Inisiatif ini bermula sebagai program rintis yang bertujuan melahirkan generasi pelajar pendidikan Islam yang diperkasa dengan kemahiran digital terkini seperti literasi ICT, pengekodan, kreativiti digital dan keselamatan siber, sekali gus meningkatkan daya saing pelajar dalam era ekonomi digital serta membantu merapatkan jurang digital merentas negeri dan komuniti.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil, berkata inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan MDEC dalam memperkasa ekonomi digital negara melalui pembangunan bakat yang inklusif.
“Usaha ini bertujuan melahirkan pelajar pendidikan Islam yang memiliki keupayaan ‘dual competent’, iaitu penguasaan al-Quran yang kukuh serta pada masa yang sama bersedia dari segi kemahiran digital (digital-ready) sekali gus membolehkan pelajar meneroka peluang pendidikan lanjutan dan kerjaya dalam sektor teknologi,” katanya.
Program rintis transformasi digital IPI merangkumi:
1. Sebanyak enam (6) sekolah daripada enam (6) negeri dipilih sebagai Sekolah Hab Digital IPI yang akan berfungsi sebagai pusat rujukan sebelum inisiatif ini diperluaskan ke lebih banyak institusi pendidikan Islam di seluruh negara.
2. Seramai 3,000 pelajar akan mengikuti latihan berstruktur yang merangkumi pendedahan kepada teknologi kecerdasan buatan (AI), pemikiran kritis, penyelesaian masalah serta aktiviti inovasi digital.
3. Para guru akan diperkasa melalui latihan pembangunan profesional dan latihan pendekatan ‘train-the-trainer’ menerusi inisiatif Guru Juara Digital IPI bagi memimpin integrasi teknologi digital di sekolah.
4. Inisiatif ini turut melibatkan:
a.Pengukuhan infrastruktur digital, termasuk peningkatan akses internet berkelajuan tinggi, penyediaan peranti digital serta penambahbaikan sistem pengurusan sekolah.
b.Kerjasama strategik dengan universiti serta syarikat teknologi daripada sektor awam dan swasta.
Sebagai agensi peneraju di bawah Kementerian Digital, MDEC membawa lebih tiga dekad pengalaman dalam memacu transformasi digital negara, termasuk dalam sektor pendidikan melalui inisiatif seperti Sekolah Bestari dan MyDigitalMaker.
Inisiatif Transformasi Digital IPI ini dilaksanakan dengan sokongan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memastikan pelaksanaan program di institusi pendidikan Islam seperti sekolah pondok dan sekolah agama rakyat kekal selari dengan dasar pendidikan Islam negara.
Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama untuk mengintegrasikan pendidikan agama dan teknologi secara holistik, sekali gus memastikan manfaat transformasi digital dapat dinikmati secara inklusif oleh seluruh lapisan masyarakat.
– TAMAT –
